NILAI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 51.36 kilogram (kg) methamphetamine bernilai RM1.7 juta yang mahu diseludup ke Australia dalam serbuan di sebuah gudang di Pelabuhan Klang, Selangor, pada 4 Sept lepas.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Zazuli Johan berkata dalam serbuan kira-kira 12.45 tengah hari, JKDM menyita enam kotak dengan lima daripadanya berisi bungkusan plastik lut sinar mengandungi serbuk kristal putih disyaki dadah berbahaya.

Katanya berdasarkan jumlah berat dadah diperoleh, rampasan itu dapat menyekat bahan terlarang itu daripada diedarkan kepada 256,800 juta penagih.

"Baki lagi sekotak dirampas itu mengandungi aksesori paip getah. Modus operandi sindiket dengan menyorokkan 338 bungkusan plastik lut sinar disyaki dadah dalam lilitan 72 gelung paip getah berwarna kuning. Dagangan ini diikrarkan sebagai paip getah tekanan tinggi.

"Tempat asal dadah ini berkemungkinan bukan dari negara ini, maknanya ia dibawa masuk ke sini kemudian untuk dieksport ke Australia. Modus operandi adalah pertama kali digunakan bagi mengaburi pihak berkuasa kedua-dua negara" katanya pada sidang media di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM, di Kampung Jijan, di sini hari ini.

Zazuli berkata hasil siasatan mendapati barangan itu akan dieksport ke Australia menggunakan laluan laut dan pengeksport menggunakan maklumat syarikat palsu menyebabkan tangkapan sukar dibuat ke atas suspek.

Beliau berkata JKDM berjaya mematahkan percubaan penyeludupan pelbagai jenis dadah ke Australia sebanyak 17 kali pada tahun ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Meskipun belum ada tangkapan dibuat, JKDM sedang berusaha dengan berhubung pihak berkuasa di Australia untuk mengesan dalang di sebalik sindiket ini," katanya.